Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba

Biografi Penulis Buku

Pemikiran Pendidikan Islam: Suatu Pendekatan Transformatif

Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba

Allahyarham dilahirkan di Kg. Pulau, Masjid Tanah, Melaka pada 12 Jun 1946. Mendapat pendidikan awal di kampungnya dan Sekolah Menengah Inggeris Gajah Berang. Kemudian melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Lulus STPM pada tahun 1976 dan melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Diploma Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya, pada tahun 1986, beliau telah melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan berjaya memperolehi Sarjana Sains Pendidikan di Universiti Indiana, Bloomington dan kemudiannya, Doktor Pendidikan di Universiti Northern Illinois di Amerika Syarikat.

Beliau merupakan mantan Profesor di Kuliyyah Pendidikan  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dalam tahun 1994-2002, beliau merupakan Timbalan Rektor menangani Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar. Pada 1994-1995, beliau juga memegang jawatan sebagai Pemangku Dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan. Sebelum itu, beliau merupakan Dekan Pusat Matrikulasi di universiti yang sama. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam pendidikan dan pengajaran di sekolah-sekolah, maktab dan Institut Pengurusan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. 

Beliau juga merupakan kolumnis prolifik di beberapa akhbar dan majalah dan menulis artikel dan menyampaikan lebih daripada 1000 kertas kerja di luar negara dan dalam negara. Keahlian beliau adalah pada pendidikan, integrasi ilmu, islamisasi pendidikan, pembangunan sumber manusia, pengurusan Islam, pemikiran strategik , isu-isu Islam dan analisis politik. Bagi 40 tahun yang lalu beliau terlibat secara aktif dalam gerakan belia, penulisan, dakwah, aktiviti akademik. Beliau telah menulis hampir 50 buah buku mengenai pendidikan dan pengurusan, belia, kemahiran keibubapaan, dakwah dan pemikiran Islam.

Beliau juga aktif dalam pelbagai institusi dan Lembaga Penasihat antaranya pernah berkhidmat sebagai mantan Ahli Lembaga Pengarah IKIM (Institut Kefahaman Islam),  Jawatankuasa Penasihat Pendidikan untuk Institut Integriti Malaysia, Mantan Ketua Satu PENAMA  Presiden Nafis (Pertubuhan Sastera Islam, Malaysia), Ahli Lembaga Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ahli Lembaga Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Panel Pakar dalam Tahfiz Institut, Selangor, Kehormat Penasihat Akademik kepada Maahad Tahfiz Pahang, Penasihat Pendidikan Negara, Panel Transformasi Pendidikan Negara, Lembaga Pengarah Kolej Universiti Peyatim Malaysia, Ahli Lembaga Syariah QSR Brands Bhd. dan lain-lain.

Beliau telah dianugerahkan tokoh Maulidur Rasul 2009 dan dikurniakan Darjah Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’.

Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Jumaat, 25 November 2022 bersamaan 30 Rabiul Akhir 1444H.

Leave a Reply

Your email address will not be published.