Pelaksanaan Hudud Di Malaysia

Perbahasan mengenai hudud hari ini banyak dicorakkan atas dasar sentimen semangat dan retorik perpolitikan semata-mata. Seringkali juga masyarakat dihidangkan dengan polemik hudud tanpa memahaminya secara tuntas apatah lagi dalam konteks perlaksanaannya di Malaysia masa kini.

Justeru buku ini diterbitkan bertujuan merungkai pelbagai persoalan mengenai hudud yang kembali menjadi polemik hangat dalam masyarakat. Buku ini menghimpunkan kertas-kertas kerja sempena Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 29 Mei 2014 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Penganjuran muzakarah ini diadakan ketika isu hudud kembali hangat diperkatakan dan hebat dipolemikkan. Sayangnya, rata- rata masyarakat berhujah mengenai hudud berasaskan emosi dan sentimen berbanding hujah berteraskan ilmu dan fakta yang sahih. Lebih membimbangkan apabila hudud seolah- olah menjadi bahan komoditi yang boleh dijual beli bagi meraih sokongan dan dorongan politik hingga mencalarkan imej Islam itu sendiri. Malah seringkali juga fokus perbahasan tertumpu pada mekanisme hingga menyebabkan berlakunya penyimpangan persepsi yang serius di kalangan bukan Islam.

Buat julung-julung kalinya YADIM berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh akademik, ulamak dan cendekiawan daripada pelbagai latar belakang dari kalangan pimpinan-pimpinan parti politik, pakar-pakar perundangan Islam dan Perlembagaan Malaysia termasuklah bekas Ketua Hakim Negara dalam satu forum membincangkan secara ilmiah, terbuka dan ikhlas mengenai perlaksanaan hukum jenayah Syariah termasuklah hudud, qisas dan takzir dalam konteks Malaysia.

Melalui kertas-kertas kerja ini, pelbagai perkara pokok dibincangkan termasuklah kedudukan hudud dalam kerangka Syariah dan perundangan Islam, pandangan-pandangan fukaha mengenai keberkesanan perlaksanaannya masa kini, usaha pengkanunan atau mentaknin hukum hudud dalam konteks Kelantan dan Terengganu, cabaran dan peluang perlaksanaan dalam kerangka perundangan negara, dan perbandingan penggubalan hukum jenayah Syariah antara Brunei dan Malaysia.

Penyunting : Senator Dato’Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Halaman : 179 mukasurat
Harga : RM29.00
ISBN : 978-967-5128-26-4
Penerbit : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Kompleks Islam Putrajaya,

Aras 4 Blok D,

No. 3, Jalan Tun Razak,

Presint 3, 62100 Putrajaya.

Tel : 03- 88703870

www.yadim.com.my