Allah SWT memberikan jaminan bahawa syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW akan berkekalan sehingga hari kiamat. Persoalannya, ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup, setiap permasalahan yang dihadapi oleh umat ditanyakan secara langsung kepada Baginda. Jawapan yang berbentuk hukum atau peraturan, akan diberikan secara langsung apa yang terkandung di dalam al-Quran. Jika tidak kedapatan, Baginda memberikan jawapan berdasarkan ketetapan yang kemudiannya disebut Hadis atau Sunnah.
Selepas Baginda wafat, para sahabat turut mencari setiap jawapannya di dalam al-Quran, merujuk kepada Hadis atau Sunnah. Jika tidak ditemukan jawapan, para sahabat menggunakan kaedah berfikir bersungguh-sungguh untuk memecahkan setiap permasalahan umat. Metode berfikir untuk mencari jawapan terhadap permasalahan umat itu dikenali sebagai ijtihad.
Ketika berijtihad, para sahabat berusaha mencari titik persamaan dari sesuatu perkara, dan sentiasa mementingkan “kemaslahatan umat” termasuklah dalam penetapan hukum. Ini kerana kehidupan umat adalah bersifat dinamik, sentiasa terdedah kepada perubahan dan masukan baharu.
Setiap permasalahan baharu memerlukan kaedah penyelesaian yang lebih relevan dengan perkembangan semasa, apatah lagi, insiden yang berlaku adalah tidak sama atau belum terjadi ketika Nabi Muhammad SAW memimpin dakwah Islam.
Dalam memahami keperluan dan kepentingan ijtihad sebagai sumber perundangan Islam, Yusri Mohamad telah menyelusuri pengalaman orang perseorangan dan kumpulan dalam tradisi sejarah Islam. Kajian yang dilakukan itu akhirnya memberikan kita jawapan yang menarik dalam buku yang berdasarkan disertasi ijazah kedoktoran dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Buku Contemporary Ijtihad: An Analysis of Individual and Collective Approaches, terbitan Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menepati keperluan semasa, bukan untuk membentuk undang-undang tetapi memberikan keseluruhan pengetahuan berguna dalam menentukan sikap, amalan dan keperluan berijtihad dalam menyelesaikan kemelut umat.
Seperti dijelaskan oleh Dr Yusri, kajian ini telah membantunya dalam menerajui pertubuhan bukan kerajaan, yang kadang-kala berkonflik dengan pelbagai institusi yang mengeluarkan fatwa. Tentunya, sudut pandangan berbeza dalam sesuatu perkara, termasuklah dalam menentukan sesuatu ketetapan hukum terhadap sesuatu perkara yang baru timbul dalam masyarakat.
Kandungan buku setebal 250 halaman ini dibahagikan kepada dua bahagian: keperluan dan panduan ijtihad semasa atau prasyarat berijtihad; dan pada bahagian kedua mengkaji amalan-amalan ijtihad yang dilaksanakan secara perseorangan dan institusi.
Menariknya, dalam kesimpulan dan cadangan, Dr Yusri menggariskan keperluan-keperluan yang wajar bagi membolehkan amalan berijtihad dilihat sebagai satu sumber hukum yang wibawa dan boleh diterima umum sebagaimana pada zaman keemasan Islam.
Cadangan-cadangan itu antaranya, mendokumentasi kod piawaian ijtihad, sumber rujukan utama, kod etika mujtahid, menginstitusikan mujtahid perseorangan, akreditasi mujtahid, dan perkongsian amalan terbaik dalam kalangan mujtahid.
Istilah ijtihad didefinisikan secara berbeza-beza, berdasarkan sudut pandang pihak yang membuat tafsirannya dan kepakaran yang ada padanya. Asal muasal istilah dari bahasa Arab itu, dari perkataan ijtahada, yang berasal dari perkataan jahada, juhdan. (hal.14). Asal perkataan itu dianggap telah melahirkan istilah jihad, yang kini disalahtafsirkan sebagai “peperangan” atau “bermusuh”.
Secara harafiahnya, ijtihad membawa maksud “menggunakan segala kemampuan berfikir” bagi mendapatkan “keputusan terhadap sesuatu perkara”, yang akhirnya akan menjadi suatu bentuk kesimpulan hukum (istinbat).
Imam as-Syaukani (meninggal 1255H) mentakrifkan ijtihad dengan “mencurahkan segala kemampuan untuk mendapatkan keputusan hukum syarak yang bersifat operasional dengan cara beristinbat. Imam al-Amidi (meninggal 631H) pula berpendapat ijtihad adalah “mencurahkan segala kemampuan untuk mendapatkan keputusan hukum syarak yang bersifat dhonni” manakala Imam al-Ghazali (meninggal 505H) melanjutkan pemahaman itu sehingga “merasakan tidak lagi mampu untuk mencari tambahannya”. Al-Ghazali menamakan batasan tersebut dinamakan sebagai al-ijtihad attaam.
Abu Zahrah menegaskan, ijtihad adalah mengerahkan segala kemampuan yang ada dalam kepakaran seseorng ahli hukum Islam secara beristinbath untuk mencari keputusan hukum berdasarkan dalil amalan secara terperinci.
Pada pandangan majoriti ilmuan Islam, ijtihad merupakan kesungguhan berfikir dari seorang ahli fiqih atau mujtahid untuk mencari kesimpulan hukum terhadap sesuatu hukum syarak. Apa yang ingin diperoleh dalam ijtihad ialah peraturan hukum yang berkaitan dengan tingkah laku atau perbuatan seseorang dewasa. Berdasarkan pengertian itu, ulama bersetuju membenarkan ijtihad manakala sebarang perbezaan pendapat mengenainya boleh ditoleransikan. Ketika ijtihad dilaksanakan, ia akan memberi rahmat sekiranya dilakukan dengan cukup syarat dan dalam keadaan yang betul, majalul ijtihad.
Menurut Dr Yusri, ijtihad pada zaman moden diperoleh dari tiga sumber: perundangan statut; fatwa oleh ulama dan hakim; dan tulisan para sarjana. Ini merupakan keputusan dari kumpulan mujtahid yang berbeza sepanjang melaksanakan tanggungjawabnya.
“We have on the one hand the faqih who extracts legal ruling from its source, the mufti who applies ruling to the particular context or situation and the judge who adjudicates between parties. Even though their roles are slightly different from one another, they contribute to the process of ijtihad and should be considered in presenting a representative picture of contemporary ijtihad.” (hal. 26)
Ijtihad kontemporari melangkaui sempadan geografi dan bidang pengkhususan. Atas kepentingan itu, amat diperlukan ijtihad secara kolektif, walaupun ada keadaannya seseorang mujtahid itu tidak memenuhi syarat, ia perlu diberikan sedikit ruang untuk memberikan pandangan berdasarkan kepakarannya. Inilah yang sepatutnya digalakkan untuk membantu umat Islam dilihat berupaya berubah dan terus maju. Ia boleh menyelesaikan banyak masalah umat masakini, dan seterusnya melahirkan suasana kehidupan yang lebih aman, harmoni dan tidak terus terkurung dalam kepompong jumud.
Islam amat menggalakkan perubahan, tetapi setiap perubahan yang berlaku tidak mengkesampingkan keyakinan asas, tidak tergelincir daripada peraturan moral. Perbezaan dalam perkara-perkara ranting bukanlah penyebab kepada konflik dan sengketa. Apa yang berlaku sekarang, tindakan mempertahankan pendapat tertentu sebagai yang terbaik telah menjerumuskan perpecahan umat Islam, dan tentunya, perubahan orientasi kemasyarakatan kepada ekonomi menyebabkan yang dikendung keciciran, yang dikejar tak dapat.
Membaca secara tekun dan fikiran terbuka, buku ini banyak membantu umat Islam untuk memahami bahawa perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang berbahaya dan merosakkan. Sebaliknya, kepelbagaian pendapat boleh dimanfaatkan secara maksimum jika setiap daripada kita memahami tertibnya, dan tidak terlalu ego.
Latar belakang ijtihad dan prosedur yang wajar diberikan perhatian oleh semua pihak, termasuk pemimpin tertinggi, ahli politik mahupun aktivis sosial, untuk mereka sama-sama memahami dalam kehidupan mesti wujud situasi “bersetuju untuk tidak bersetuju” dan menghormati keputusan yang dibuat bersama. Itulah yang dinamakan sebagai “tanggungjawab bersama” dan perubahan akan menjurus kepada positif, sebagaimana dimaksudkan dari maksud islah.
Dr Yusri wajar membangunkan dialog yang lebih meluas untuk membincangkan persoalan dan kepentingan ijtihad dalam masyarakat Islam di Malaysia memandangkan kedudukannya sebagai Yang di Pertua YADIM, sebuah organisasi amanah yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyelaraskan gerakan dakwah. Lantaran itu, beliau wajar bertindak sebagai mujtahid dalam melaksanakan ijtihad dengan badan-badan dakwah, kerana sebahagian daripadanya telah menyempitkan Islam berdasarkan falsafah politik yang memotorinya.