Judul buku: Pemikiran Pendidikan Islam: Suatu Pendekatan Transformatif

PENDIDIKAN adalah satu isu yang sentiasa dibicarakan dalam apa jua keadaan sama ada dalam bentuk pembentangan, forum, seminar mahupun wacana penulisan. Ini menunjukkan betapa penting dan signifikan pendidikan dalam peradaban manusia.

Penulis: Prof. Dato’ Dr Sidek Baba

Halaman: 164 ms

Harga: RM22.00

Penerbit: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Pemikiran Pendidikan Islam: Suatu Pendekatan Transformatif’ bukan sekadar sebuah lagi buku yang memperkatakan mengenai sistem pendidikan yang perlu dikaji semula dengan menyenaraikan langkah-langkah penyelesaian. Lebih daripada itu, buku ini menghimpunkan pemikiran penulis dari perspektif untuk menanam nilai insani pada pendidikan itu sendiri dengan menjadikan Islam sebagai landasan dan panduan tanpa mengetepikan keperluan serta cabaran global masa kini.

Sebagaimana Malik Bennabi meletakkan pendidikan itu ciri utama yang membawa kepada pembangunan serta kemajuan sesebuah tamadun, masyarakat dan negara, penulis ‘Pemikiran Pendidikan Islam: Suatu Pendekatan Transformatif melihat pendidikan perlu dilaksanakan secara menyeluruh untuk tujuan tersebut. Idea pokok beliau ialah mengintegrasikan nilai agama dalam pendidikan untuk melahirkan generasi yang seimbang jasmani, rohani, emosi serta akhlaknya.

Buku ini mengupas pemikiran penulis yang menghubungkan nilai-nilai Islam dengan sistem pendidikan; Islam membawa nilai-nilai sejagat merangkumi isu-isu sosial, ekonomi, teknologi dengan mengambil kira kepentingan alam serta makhluk yang lain, nilai-nilai kemanusiaan, adab dan etika. Melalui tulisannya, pembaca dapat menebak bahawa penulis bersungguh-sungguh berpendapat bahawa perlu berlaku peralihan paradigma dalam sistem pendidikan negara demi untuk melahirkan generasi yang menyumbang kepada kelestarian bangsa dan negara yang berperadaban.

 

Dalam bukunya ini, penulis menekankan pentingnya supaya sistem pendidikan mengutamakan nilai insaniah serta penghayatan untuk melahirkan generasi yang berjiwa subur dan peka, bukan bersifat mekanikal semata-mata. Sistem pendidikan di Malaysia tidak boleh mengelak dari transformasi. Kurikulum perlu diteliti semula supaya relevan dengan peredaran zaman. Begitu, menurut penulis pendidikan di Malaysia harus bergerak atas landasan yang didasari oleh nilai dan etika agar generasi yang bakal dilahirkan bukan sahaja berilmu tetapi juga berketerampilan dari segi pembangunan rijjal.

 

Belajar bukan setakat di dalam bilik darjah dan hanya berpandukan kepada kurikulum sahaja. Pembelajaran di dalam kelas perlu disepadukan dengan dunia luar supaya pemikiran pelajar dapat berkembang dan lebih terbuka, serta mereka mengambil peduli mengenai isu-isu semasa yang berlaku di luar lingkungan mereka. Proses pendidikan perlu diterapkan dengan nilai-nilai yang dapat memberi makna kepada ilmu yang dipelajari serta melahirkan pelajar yang mempunyai jiwa, nilai insaniah yang tinggi dan berwatak mithali.

 

Di peringkat persekolahan, kokurikulum dan kurikulum tambahan yang dirancang secara sistematik dan berobjektif mampu melahirkan pelajar yang berkemahiran, berdaya saing, kreatif dan inovatif. Aktiviti kokurikulum dan kurikulum tambahan merupakan ruang dan platform untuk pelajar mengasah bakat serta mempelajari kemahiran yang bermanfaat bukan sahaja untuk kegunaan sepanjang zaman pengajian mereka, malahan berguna selepas mereka memasuki alam pekerjaan dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.

Kegiatan berpersatuan dapat membina semangat berpasukan, kerjasama, berani berhujah dan mengeluarkan pendapat, menyemai minat dalam penyelidikan dan kerja-kerja lapangan. Pelajar juga dididik dengan semangat kepemimpinan dan kesetiaan serta kepatuhan sebagai pengikut. Ini melibatkan persekitaran dan pihak yang sama-sama memainkan peranan termasuklah kualiti guru, prasarana pembelajaran, dan tentu sekali ibu bapa termasuk keluarga yang mempengaruhi pembentukan minda serta watak pelajar.

 

Aspek nilai dan kefahaman yang didasari nilai-nilai Islam memberi ‘makna’ dan ‘roh’ kepada ilmu yang dipelajari. Islam memandu tingkah laku yang menghasilkan suatu yang beretika dan diraikan oleh segenap lapisan masyarakat kerana Islam mengajar sikap-sikap amanah, jujur, benar, berkasih-sayang, toleransi serta saling menghormati. Penulis menyentuh bagaimana integrasi nilai-nilai Islam dalam pendidikan mampu memberi tasawur yang berbeza kepada guru dan pelajar dalam menjalani proses pembelajaran.

 

Penulis memberikan contoh yang menarik apabila mengaitkan pelajaran dengan ‘faktor-faktor ghaib’ yang hakiki. Subjek geografi, umpamanya, tidak hanya dikaitkan dengan kejadian-kejadian alam yang dapat dilihat secara fizikal sahaja. Ia mengajar bahawa setiap kejadian di dunia ini tidak wujud dengan sendiri melainkan ada yang menciptanya: Allah SWT. Belajar dan memahami mengenai alam akan membawa kepada pemahaman mengenai kebesaran Allah SWT. Bukan setakat bagaimana dan mengapa sesuatu itu dicipta, pelajar juga diajak untuk mengkaji hikmah di sebalik kejadian tersebut. Apabila Allah SWT menyatakan bahawa kejadian gunung-ganang, antaranya adalah sebagai pasak bumi yang memberi keseimbangan kepada bumi maka, fahamlah kita bahawa setiap ciptaan Allah itu mempunyai peranan dan bersebab; manusia sebagai makhluk yang dikurniakan akal mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memelihara keseimbangan ini.

 

Belajar sejarah juga bukan sekadar menghafal tarikh-tarikh dan peristiwa-peristiwa. Belajar sejarah memperkenalkan kita kepada pelbagai watak dan peranan mereka (dalam sejarah). Selain dari kegemilangan dan penemuan-penemuan yang mencatat sejarah baharu, kita diingatkan bahawa watak-watak seperti Wak Kitul, Patih Karma Wijaya, Raja Mendeliar, wujud dalam setiap zaman. Maka, perlulah belajar dari sejarah; perlu lebih bijaksana dan wajar dalam sebarang tindakan.

 

Penulis menghubungkan faktor fikir dengan faktor zikir apabila membincangkan mengenai disiplin hati dan akal supaya fikir sentiasa diiringi petunjuk dan pedoman. Sesungguhnya hati dan akal yang didasari nilai-nilai murni akan menghadirkan nilai-nilai yang baik juga. Islam tidak terpisah daripada sains dan teknologi. Islam memberi garis panduan supaya teknologi dikendali dengan nilai-nilai manusiawi, moral dan etika. Begitu juga, penulis membicarakan mengenai pengurusan diri dan pengurusan sistem yang harus dikuasai supaya sumber-sumber alam yang ada dapat diusahakan untuk manfaat masyarakat tanpa memudaratkan bumi dan mahkluk Allah yang lain.

Integrasi elemen-elemen dalaman atau manusiawi dalam proses pendidikan adalah perlu supaya ilmu yang diajar tidak hanya bersifat mekanikal. Kefahaman dan penghayatan merupakan antara ciri yang akan memaknakan ilmu, seterusnya melahirkan pelajar yang jelas pemahamannya.

 

Penulis merupakan seorang tokoh ilmuwan tanah air dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang pendidikan, telah menterjemahkan pemikiran beliau dengan jelas dalam bentuk penulisan yang padat dan mudah untuk difahami.

Kekuatan buku yang mengandungi 34 bab ini terletak pada pengolahan yang lancar, segar dan membangkitkan kesedaran pembaca mengenai pentingnya topik yang dibawa oleh penulis, sehingga meyakinkan bahawa ini adalah suatu topik yang perlu diambil berat. Setiap bab ditulis tidak terlalu panjang untuk menarik kecenderungan pembaca agar terus membaca serta untuk memudahkan pemahaman. Namun, gaya yang ringkas ini tidak sedikit pun mengurangi elemen keilmuannya.

Pembaca juga tidak perlu rasa terintimidasi dengan perkataan ‘pendidikan’ pada judul buku. Buku ini bukan khusus untuk pendidik sahaja, malahan, ia sesuai untuk bacaan segenap lapisan masyarakat terutamanya mereka yang menyimpan aspirasi untuk melihat satu perubahan yang bakal melahirkan generasi masa depan negara yang berilmu, berakhlak dan berjiwa insaniah, serta beramal dengan nilai-nilai mulia. Dapatkan naskhah anda segera dan hayatinya.

Selamat membaca.