Judul buku: Buku Sumber Rujukan Guru Pendidikan Islam Prasekolah

MENURUT Imam al-Ghazali, pendidikan anak hendaklah dimulakan sejak anak itu lahir. Anak-anak hendaklah diajar dengan al-Quran dan hadis sebagai pengenalan dan permulaan kepada pembentukan akhlak dan peribadi mulia.

Kanak-kanak mengalami perkembangan yang cepat dan subur pada usia enam tahun pertama berbanding tahap umur yang lebih dewasa. Ini menjadikan peringkat usia ini paling sesuai untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada mereka melalui pendidikan. Pengalaman pembelajaran di peringkat awal akan mempengaruhi perkembangan kamak-kanak pada masa akan. Sekiranya dari awal, perkembangan kerohanian dan sosio-emosi mereka dititikberatkan, mereka akan membesar sebagai anak-anak dan generasi yang seimbang rohani dan jasmani, yang bertakwa serta berketerampilan. Pendedahan awal yang hanya bertumpu pada kecemerlangan akademik semata-mata, akan memberi kesan yang tidak seimbang kepada perkembangan personaliti kanak-kanak itu.

Menyedari pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak yang ada sekarang tidak seragam, wajar diwujudkan satu model sebagai panduan untuk guru-guru yang mengajar Pendidikan Islam di peringkat prasekolah. Atas kesedaran ini, maka Buku Sumber Rujukan Guru Pendidikan Islam Prasekolah ini disusun dan dibina melalui perancangan yang teliti supaya dapat dijadikan model untuk menyelaraskan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam prasekolah secara bersepadu di negara ini.

Buku ini disusun dengan teliti  dengan mengambil kira aspek terkini dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) serta memenuhi keperluan Kurikulum Pendidikan Islam Prasekolah. Pun begitu, perlu diingat bahawa Buku Sumber Rujukan Guru Pendidikan Islam Prasekolah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ini bukanlah untuk menggantikan mana-mana kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia melainkan sebagai bahan rujukan dan panduan bagi guru-guru untuk mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran pendidikan asas agama Islam di peringkat awal.

Berbeza daripada buku tambahan atau buku panduan yang lain, Buku Sumber Rujukan Guru Pendidikan Islam Prasekolah ini adalah lengkap dari segi pengisiannya. Merangkumi topik Akidah, Ibadah, Sirah, Akhlak, Asas Bahasa al-Quran (Bahasa Arab) dan Asas Tulisan Jawi, buku ini dilengkapi dengan penerangan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi setiap topik tersebut berserta lampiran-lampiran yang membantu. Menariknya, buku ini menyediakan garis panduan pendekatan bersepadu (integrasi) di mana murid diajar bagaimana agama sentiasa berkait dengan persekitaran dan kehidupan harian.

Kekuatan buku ini juga didatangkan dalam contoh langkah-demi-langkah, jadual-jadual serta ilustrasi yang menarik untuk memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Contoh-contoh yang jelas membantu guru mengembangkan idea dan menjadikan sesi pembelajaran di dalam kelas suatu yang interaktif dan ceria. Carta, puisi dan petikan sirah yang dilampirkan sebagai alat bantuan mengajar adalah relevan dengan aktiviti yang dirancang oleh guru untuk membantu penyampaian dan pemahaman yang lebih berkesan.

Buku ini mengandungi 16 bab yang membawa tajuk antaranya ‘Kemahiran Abad Ke-21’, ‘Kandungan Kurikulum Standard Prasekolah’, ‘Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran’, ‘Cadangan Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran’, serta tajuk-tajuk lain yang berkaitan. Lampiran-lampiran yang disertakan akan membantu serta mencambahkan lagi kreativiti guru-guru dalam pengajaran mereka.

Menurut Imam Al-Ghazali lagi, kanak-kanak perlu diajar dari peringkat yang mudah sebelum sampai ke peringkat yang lebih susah. Kandungan buku ini disusun agar dapat membantu rancangan pengajaran mengikut peringkat daripada yang mudah hingga ke yang sukar mengikut kesesuaian murid. Setiap kanak-kanak mempunyai tahap kebolehan serta minat yang berbeza-beza. Garis panduan yang disediakan dapat membantu guru untuk lebih kreatif menterjemahkan kurikulum dan menyesuaikannya mengikut keperluan dan tahap kebolehan murid.

 

Bab ‘Contoh Skala Perkembangan Murid’ mencadangkan bagaimana guru-guru boleh menyediakan jadual bagi mengukur perkembangan serta tahap pencapaian murid dan membuat catatan mengenai perkara-perkara yang perlu diambil perhatian atau tindakan oleh guru. Dalam bab ‘Panduan Pengurusan Dan Penggunaan Ruang’, guru diberi garis panduan untuk mencipta situasi dan persekitaran yang menyenangkan dan menenangkan murid.

Pendidikan peringkat prasekolah adalah sinonim dengan belajar melalui bermain. Aktiviti bermain menyediakan ruang yang menggembirakan untuk murid melakukan penerokaan dan menimba pengalaman secara langsung sesuai dengan fitrah kanak-kanak yang cenderung kepada keriangan dan keseronokan. Aktiviti bermain merupakan antara pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pergerakan jasmani untuk membina kekuatan tubuh badan serta kecergasan murid. Selain itu, buku ini turut membincangkan pendekatan-pendekatan lain yang dapat melatih murid dengan sifat berani, sabar, saling menghormati, mentaati ibu bapa dan orang lain.

Secara keseluruhannya, Buku Sumber Rujukan Guru Pendidikan Islam Prasekolah ini menyediakan panduan yang lengkap dan komprehensif berkenaan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Pendidikan Islam, dan ia boleh digunakan berterusan, bukan setakat di peringkat prasekolah sahaja, malahan sesuai digunakan seiring dengan pertambahan usia anak-anak. Hakikat agama Islam yang kekal dan tidak berubah-ubah adalah syumul dan sesuai sepanjang zaman, tanpa mengira usia seseorang. Buku ini tidak mengehadkan cara bagaimana guru-guru harus melaksanakan pengajaran di dalam kelas. Kandungannya dibina dan disusun dalam bentuk yang dapat dikembangkan mengikut pertimbangan guru dan kesesuaian kepada murid.

Buku ini telah dibina dengan kepakaran panel perunding dan penulis yang berpengalaman serta terlibat secara terus dengan Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia; pengetua-pengetua dan guru-guru tadika Islam. Setelah melalui ujian rintis di 17 buah tadika dan prasekolah dari seluruh negara, hasilnya menunjukkan bahawa keperluan buku panduan Pendidikan Islam prasekolah yang lengkap dan menyeluruh ini adalah tinggi.

Buku ini bukan hanya sesuai digunakan oleh para guru, malahan ibu bapa yang berhasrat mengajar sendiri atau memperkenalkan anak-anak mereka pada Pendidikan Islam akan mendapati buku ini praktikal dan sangat membantu. Walaupun buku ini adalah untuk kegunaan golongan dewasa (guru, ibu bapa), ia didatangkan dalam bentuk persembahan yang ceria – warna-warni berserta ilustrasi dan carta-carta yang mampu membangkitkan suasana keriangan, keseronokan dan inspirasi kepada guru (mahupun ibu bapa) ketika mengajar. Ibu bapa boleh menghabiskan masa berkualiti bersama-sama anak-anak pada cuti sekolah yang panjang ini dengan mempraktikkan kaedah pengajaran dan pembelajaran daripada Buku Sumber Rujukan Guru Pendidikan Islam Prasekolah ini – percayalah, sangat bermanfaat; ibu bapa dan anak-anak akan menyukainya. Para guru, sempena penggal persekolahan yang akan bermula tahun hadapan – ya, inilah masa yang paling sesuai untuk mendapatkan naskhah tuan-tuan.

 

 

2 thoughts on “Judul buku: Buku Sumber Rujukan Guru Pendidikan Islam Prasekolah

    • norisham Hamzah says:

      assalamualaikum.terlebih dahulu kami mengucapkan terima kasih kepada puan kerana berminat dengan buku tersebut..Kami juga mohon kemaafan kerana sistem buku on;ine kami sedang menghadapi masalah teknikal ..dan baru sahaja diperbetulkan..
      untuk itu puan boleh menghubungi sya norisham hamzah di talian 03-88703870 ext 3806….atau wassup 019 3771005

Leave a Reply

Your email address will not be published.