Mengapa jalan kejahilan yang dipilih?

Zalilah Bahari

 Apabila berbicara tentang buku, kita tidak dapat lari daripada membicarakan soal buku sebagai gedung ilmu atau jambatan ilmu. Kuncinya adalah membaca, membaca tidak mengenal usia dan masa. Dengan membuka buku seolah-olah seperti kita memasuki sebuah dunia. Memasuki dunia lain yang mampu memberikan kebijaksanaan kepada kita.

Seiring dengan  wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW daripada Allah SWT iaitu surah al-alaq, ayat 1-5. Ayat surah tersebut bermula dengan perkataan “iqra’”, iaitu bacalah! Kenapa perintah pertama Allah kepada Rasul-Nya adalah arahan membaca, “Bacalah!” Kenapa tidak dengan ayat yang lain?

Di sini jelas, Allah memerintahkan manusia agar menuntut ilmu kerana menerusinya kita akan mengenali Allah dan Rasul-Nya. Ilmu juga adalah pintu bagi segala rahsia membuatkan kita mahu menelusuri segenap pelusuk dunia untuk mengisi kekosongan jiwa dan rohani yang akhirnya membawa kita kembali kepada-Nya.

Ilmu tidak terbit pada siapa-siapa yang ia kehendaki tetapi ia perlu dicari dengan usaha yang bersungguh-sungguh menerusi amalan membaca. Sesuailah dengan kedudukannya sebagai harta yang tidak ternilai yang melimpah ruah, menjadi jaminan kehidupan bahagia di dunia dan di akhirat.

Ada begitu banyak dalil al-quran dan juga hadis yang menerangkan tentang kepentingan ilmu dan kedudukannya.  Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kalian

serta orang-orang yang menuntut ilmu beberapa darjat.”

(Al-Mujadaah:11)

Sabda Rasulullah SAW :

“Menuntut ilmu merupakan kewajiban bagi setiap muslim.”

(H.R. Ibnu Majah)

 

Rasulullah juga pernah bersabda, “Bahawa barangsiapa yang menjejaki suatu jalan dalam rangka usaha mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”

(H.R. Ibnu Majah dan Abu Dawud)

Penafsiran bagi dalil-dalil di atas terang-terangan menjurus akan kebaikan ilmu, penekanan tanggungjawab mengelak daripada kebodohan dan dari dibodohkan adalah tanggungjawab semua.  Begitu juga dengan ajaran Islam  yang memandang tinggi terhadap orang yang berilmu yang kemudian mengajarkannya pula kepada yang lain.

Selain itu, sudah menjadi fitrah manusia yang berakal, dahagakan ilmu untuk mengetahui aturan alam dan kejadian manusia. Manusia juga bersaing untuk menjadi lebih baik daripada yang lain dan itu hanya mampu dilakukan sekiranya mereka menguasai ilmu pengetahuan. Bagaimana beroleh ilmu pengetahuan? Jawapannya sudah tentu menerusi pembacaan.

Nah….Jika itulah yang difahamkan, realitinya mengapa masih ramai lagi yang buta hati untuk membaca.? Adakah disebabkan dengan lambakan media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan banyak lagi menyebabkan manusia sudah malas untuk berfikir apatah lagi membaca.  Menulis secara spontan dan tidak perlu berfikir dalam menyuarakan sesuatu, yang penting cepat ditulis beritanya dan bahan dapat disebar luas.  Mutu bahan paparan yang jarang mencapai “standard”  tidak usah dipertikaikan lagi . Inilah cara pengasuhan minda yang menjadi trend generasi muda kini.

Namun sebenarnya, sebelum kegilaan terhadap “gadget” ini bermula, banyak kajian yang telah dibuat terhadap tahap budaya membaca rakyat Malaysia, yang menyaksikan aktiviti membaca tidak mendapat tempat di hati sebahagian besar rakyat Malaysia. Sehingga kini, banyak gesaan dan usaha yang dibuat sama ada pihak kerajaan mahupun swasta, namun hasilnya tetap sama iaitu mereka tidak lagi menemukan keseronokan dalam membaca sebagai hobi mengisi masa lapang apatah lagi sebagai sumber ilmu dan inspirasi. Maka, di manakah silapnya?

Pernah juga penulis terfikir adakah suatu hari nanti buku akan pupus akibat sikap manusia yang sudah tidak mahu membaca mahupun berfikir?  Sedangkan tidak ada satu pun buku yang ditulis tidak ada manfaatnya sekiranya kita mampu memahami makna dan hikmahnya.  Jika ditakdirkan kita  tidak dapat memahaminya, bukanlah bermakna kita kurang bijak tetapi kita seharusnya membuka fikiran kita agar lebih terbuka untuk menerima. Bukannya berputus asa dan terpacul perkataan “ bosan” apabila disuruh membaca.

Penulis masih ingat, salah satu kunci yang diajar oleh guru penulis agar selalu bersemangat untuk membaca adalah jangan menganggap diri kita sudah terlalu pintar hingga tidak dambakan lagi pada ilmu. “Dengan banyak membaca kita dapat bezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Dengan membaca juga kita dapat berkongsi duka dan kegembiraan menerusi pengalaman orang lain yang disudahi dengan pengajaran hidup yang amat bermakna yang boleh kita ambil sebagai inspirasi dan motivasi.”

Sebagaimana kata-kata Confucius, “Sesibuk mana sekalipun, cubalah cari masa untuk membaca,  jika tidak anda akan kalah dengan jalan kejahilan yang anda pilih sendiri.”

Bagi penulis pula, sekiranya membaca dan berfikir itu tinggal kenangan, maka sesungguhnya manusia itu telah kehilangan diri mereka …

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.